Oleh Govindan Kaladher
Prestasi Indeks Komposit dijangka terus catat pengukuhan minggu ini
BURSA Malaysia mencatatkan pemulihan kukuh minggu lalu, melepasi paras rintangan psikologi 1,200 pada hari kedua dagangan.
Selain pengukuhan semalaman sebanyak satu peratus di Dow Jones, aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta harapan potongan kadar faedah adalah antara faktor pendorong kenaikan itu.
Sentimen positif itu menerima satu lagi dorongan iaitu perubahan dasar yang diumumkan kerajaan merangkumi kelonggaran dagangan tukaran asing, kenaikan had pinjaman dalam mata wang asing dan pemansuhan cukai keuntungan hartanah (RPGT).
Sehubungan itu, penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (IK) menokok 53.45 mata, atau 4.52 peratus sebelum ditutup Jumaat pada 1,235.65, manakala jumlah dagangan meningkat kepada 1.78 bilion saham berbanding 1.33 bilion saham minggu sebelumnya.
Tinjauan menunjukkan tiada penunjuk ekonomi utama dijadual untuk dikeluarkan minggu ini.
Bulan ini juga menandakan berakhirnya tempoh penentu yang ditetapkan kerajaan dalam mendapatkan rakan strategik Proton. Setakat ini, harga saham Proton mencerminkan potensi manfaat daripada kerjasama strategik ini.
Lebih penting lagi, kemasukan padu rakan kongsi asing akan menghantar isyarat ke pasaran mengenai usaha kerajaan menyelesaikan pengstrukturan GLC dan memberi keutamaan ke atas nilai komersial melebihi pertimbangan politik.
Saya jangkakan Volkswagen (VW) bakal dipilih menjadi rakan strategik Proton berbanding General Motors (GM) dan syarikat automotif tempatan lain, disebabkan terutama oleh rekod kejayaan VW dalam memulihkan jenama lemah seperti Bugatti, Skoda dan Bentley.
Sebarang keputusan yang memihak kepada pemilihan syarikat automotif tempatan akan memberikan impak negatif terhadap pasaran.
Hala tuju IK minggu ini berkemungkinan dipengaruhi penunjuk ekonomi AS yang akan dikeluarkan minggu ini, termasuk New Home Sales (26 Mac), Conference Board Consumer Sentiment Index and Durable Good Orders (Mac 28), Perbelanjaan Pengguna Persendirian (PCE) dan University of Michigan Confidence Index pada 30 Mac.
Prestasi IK dijangka terus mencatatkan pengukuhan minggu ini. Pelabur dinasihati mengambil peluang pengukuhan ini untuk menyimpan keuntungan berikutan IK berkemungkinan mengalami pembetulan dalam jangka pendek dan sederhana susulan wujudkan pemangkin domestik utama untuk memacu pasaran.
Berikutan projek utama menerusi Rancangan Malaysia Ke-9 hanya akan dirasai pada separuh kedua tahun ini, kebarangkalian aktiviti ‘memancing’ saham adalah cerah pada April atau Mei. Indeks barometer mencatat prestasi mantap pada tujuh hari berturut-turut, menokok sehingga 4.7 peratus. Di kalangan saham mewah yang mencatatkan keuntungan baru-baru ini, yang mana pelabur sepatutnya keluar ialah DiGi dan Proton.
Kenaikan semula saham AS selepas Rizab Persekutuan mengekalkan kadar faedah dan meletakkan nada yang mencadangkan potensi separuh kedua yang lebih lega, insentif cukai bagi pembelian hartanah oleh warga asing dan pengecualian cukai 10 tahun bagi pelaburan di Kawasan Pembangunan Iskandar, membantu saham di Bursa Malaysia mengekalkan rali kenaikan minggu lalu.
Bulan spot Mac pasaran hadapan KLCI diniagakan di Bursa Malaysia Derivatives Bhd menokok 85.5 mata, atau 7.4 peratus minggu lalu untuk ditutup pada 1,236.5 atau 0.85 mata premium kepada indeks tunai.
KLCI dibuka Isnin lalu rendah pada 1,182.56, meningkat 10 mata untuk di tutup pada 1,192 sebelum meningkat melebihi paras rintangan psikologi 1,200 keesokan harinya, dipacu kenaikan kukuh semalaman di bursa saham AS dan UK.
Penanda aras itu mengekalkan kenaikan kukuh tiga hari berikutnya, didorong sikap optimistik Rizab Persekutuan AS dalam mengurangkan kadar faedah pada separuh kedua tahun ini, selain insentif kerajaan untuk mempromosikan pelaburan asing langsung di Kawasan Pembangunan Iskandar yang diumumkan pada forum Invest Malaysia 2007. Indeks saham mewah menokok pada 1,237.70 lewat Jumaat, paras tertinggi sejak 27 Februari.
Saham murah juga mencatatkan peningkatan yang mana saham Papan Kedua mencatat pemulihan daripada aktiviti jualan dua minggu. Indek Papan Kedua (SBI) melonjak 3.77 mata, atau empat peratus untuk ditutup minggu lalu pada 97.16, sementara Indeks Komposit Mesdaq (MCI) menokok tambahan 1.36 mata, atau satu peratus kepada 138.19.
Isyarat belian dipacu penanda stochastics harian perlahan bagi KLCI pertengahan minggu, digerakkan kekangan melebihi paras 1,200. Bagaimanapun, stochastics mingguan lega daripada terlebih belian, mencadangkan pembetulan lanjutan pada jangka sederhana. Namun, Indeks Pengukuhan Relatif (RSI) 14-hari dan 14-minggu bergerak lebih tinggi untuk mencadangkan momentum kenaikan.
Sementara itu, Petunjuk Aliran Pemesongan Pemusatan Purata Pergerakan (MACD) juga mencadangkan isyarat belian pertengahan minggu, mengukuhkan isyarat belian pada petunjuk stochastics harian. MACD mingguan bergerak ke atas selepas menyentuh garis pencetus, menandakan aliran meningkat masih lagi kukuh.
Dengan KLCI sudah menikmati keuntungan tujuh hari berturut-turut dan isyarat belian pada stochastics harian perlahan, yang menuju ke zon terlebih belian, adalah dijangkakan pengambilan untung dan jualan semasa rali berleluasa minggu ini.
Tambahan lagi mentaliti dagangan “jual berdasarkan fakta” bakal mengekang kenaikan.
Halangan semerta KLCI ialah pada paras 1,240, dengan 1,250 (IR) sebagai paras halangan berikutnya. Paras halangan lebih kukuh ialah pada 1,265 (R1), manakala rali ke arah paras puncak 14-tahun 1,285 (R2) pada 26 Februari untuk memacu kenaikan lanjut akan menemui paras siling 1,300 (R3) minggu ini.
Paras sokongan semerta disemak semula kepada 1,220 (IS), dengan sokongan tambahan 30-hari SMA hampir 1,214 dan paras halangan psikologi 1,200 (S1) yang bertindak sebagai paras sokongan lebih kukuh.